Sunday, November 6, 2011

Majalah Bulanan Dakwah dan Hadharah Islamiah - Bilangan 553 Warta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan. Keluaran : Julai-Ogos 1998M bersamaan Rabiul Awal-Rabiul Tsani 1419H
Rencana Pilihan
Pengasuh

PERKEMBANGAN ILMU PERUBATAN DALAM TAMADUN ISLAM
Oleh : DR. MAT ROFA BIN ISMAIL

Pendahuluan.

Sejarah menyaksikan bahawa perkembangan ilmu dalam sesuatu masyarakat sangat bergantung kepada perkembangannya yang berlaku sebelumnya oleh generasi terdahulu. Ilmu diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Pengalaman generasi awal dijadikan teledan dan panduan oleh generasi kemudian. Demikian juga halnya dengan ilmu perubatan. Ilmu perubatan yang berlaku dengan pesatnya dalam tamadun Islam bersumberkan perubatan warisan silam yang diadunkan dengan seni perubatan Nabi S.A.W. Ilmu ini berkembang menjadi satu disiplin penting dalam kurikulum pengajian tradisi Islam. Penemuan-penemuan baru dalam bidang ini oleh tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, al-Razi, al-Zahrawi, Ibnu al-Nafis dan angkatannya memberi sumbangan yang besar dalam sejarah perkembangan ilmu perubatan dunia.

Kegiatan Penterjemahan Karya Asing ke Dalam Tamadun Islam.

Detik-detik awal penterjemahan karya asing ke dalam tamadun Islam diceritakan oleh al-Syaharzuri di dalam Nazhah al-Arwah seperti berikut : Khalid bin Yazid seorang pembesar Bani Umayyah ialah orang Islam pertama yang mengarahkan penterjemahan karya silam ke dalam bahasa Arab. Karya al-Diwan Farsi diterjemahkan pada zaman Hujjaj kemudian al-Diwan Syam yang ditulis dalam bahasa orang Rom diterjemahkan pada masa Hisyam bin Malik. Khalifah al-Ma'mun kemudiannya memainkan peranan yang penting dalam pemindahan ilmu ke tamadun Arab. Beliau bermimpin bertemu seorang syeikh berkulit putih kemerahan dalam pakaian berjahit benang emas dan duduk di atas satu tempat duduk Siddah lalu beliau menghampirinya dan bertanya " Siapa anda?" . Jawabnya " Saya Aristoteles al-Hakim". Maka terjadilah dialog diantara keduanya mengenai akal, 'uraf dan syarak. Apabila beliau terjaga beliau mempunyai keazaman yang kuat untuk mengembangkan semua cabang ilmu hikmah. Beliau membuka Bait al-Hikmah dan mengarah pegawai-pegawainya menterjemahkan karya-karya berkenaan ke dalam bahasa Arab dan diutuskan seorang utusan menemui raja Rom untuk mencari karya-karya hikmah dan utusan itu memperoleh karya-karya yang banyak : demekian juga dilakukan oleh Banu Musa. Selepasnya ramailah yang terlibat dengan penterjemahan ini dan ada yang perlu ke Rom, menggunakan wang yang banyak untuk mendapatkan karya-karya tersebut.

Menurut Ibnu al-Nadim Aristoteles ialah seorang ahli hikmah keturunan Asqalibius, pengasas ilmu Yunani dan Aristoteles itu sendiri bermaksud "cintakan hikmah". Beliau ialah Aristoteles bin Nikomakhus bin Makhawan dan beliau pernah berguru dengan aflatun. Ayahnya, Nikomakhus ialah seorang tabib diraja kepada Peles ayah baginda Iskandar yang terkenal itu.

Penumpuan Khalid bin Yazid (mati 804M) terhadap usaha pemindahan ilmu mempunyai hubungkait dengan kegagalannya untuk menduduki takhta kerajaan Muawiyah. Beliau menumpukan kepada ilmu dan pengetahuan sebagai mengalihkan pandangannya daripada perebutan kuasa dengan mempelajari ilmu kimia daripada seorang rahib Iskandariah bernama bernama Marianus yang kemudiannya mengarah agar diterjemahkan ilmu tersebut ke bahasa Arab. Khalid hidup semasa dengan ahli kimia pertama Arab. Jabir ibnu Hayyan yang amat meminati ilmu-ilmu kimia dan hikmah. Dalam ilmu kimia, beliau berusaha mengkaji sifat logam emas dan logam-logam lain yang hampir dengan sifatnya. Dalam ilmu hikmah pula, Jabir membawa masuk rajah-rajah segiempat ajaib yang dikenali sebagai murabbi al-sihri yang digunakan kemudiannya untuk tujuan perubatan oleh setengah penulis. Rajah-rajah ini, dengan pelbagai khurafat digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Terdapat banyak faktor yang mendorongkan kegiatan menterjemahkan karya asing ke dalam perbendaharaan ilmu Islam. Islam menggalakkan mempelajari ilmu kepada setiap individunya dan emletakkan martabat yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Setengah-setengah ibadat seperti sembahyang memerlukan pengetahuan waktu dan arah kiblat. Ini memerlukan ilmu pengiraan dan falak. Demikian juga pengiraan mengenai anak bulan untuk awal Ramadhan bagi ibadat puasa dan pengiraan hukum fara'id dalam fiqh. Khalifah-khalifah Islam mengambil peranan yang penting dalam pemindahan ilmu ini dan memeberi upahan yang amat lumayan penterjemah-penterjemah karya asing ke bahasa Arab. Perkembangan masyarakat Islam dalam pelbagai lapangan hidup memerlukan pengetahuan yang luas samada pertanian, perubatan, ekonomi dan sebagainya selain daripada ilmu-ilmu agama yang telah berkembang sejak zaman Rasulullah lagi. Hal ini menjadi lebih mudah apabila Islam tersebar luas melalui pembukaan wilayah-wilayah baru yang berlaku dalam masa khulafa' al-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepasnya.

Bahasa Arab selain daripada bahasa al-Qur'an dan al-Sunnah serta bahasa-bahasa ilmu yang penting dalam pemindahan ilmu yang terbit daripada kedua-keduanya, menjadi bahasa ilmu yang penting dalam pemindahan ilmu tersebut . Istilah-istilah baru baru tercipta dan dikembangkan. Ilmu-ilmu falsafah, matematik, perubatan dan lain-lainnya mempunyai peristilahan yang khusus dan para ilmuan telah berjaya menggunakan bahasa Arab sebagai ilmu ilmiah yang dipelajari dan dikaji kerana ilmunya.

Diriwayatkan bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Ab. Aziz (mati 704M) sebuah koleksi karya perubatan Ahrun bin A'yun telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh seorang tabib Yahudi bernama Musarjuwaih. Tabib ini berasal dari Basrah dan bertutur bahasa Syria. Musarjuwaih mempunyai karya-karya lain termasuk al-Kannasy fi al-Ghiza dan dan Kitab fi al-Ain . Abdullah bin al-Muqalla (mati 759M) yang menterjemahkan karya-karya asing ke dalam bahasa Arab merupakan penterjemah awal dalam kerajaan Abasiah.

Kerja penterjemahan yang lebih giat sebagaimana catatan al-Syaharzuri di atas berlaku pada masa pemerintahan Abu Ja'far al-Mansur (mati 775M). Beliau menjadikan kegiatan tersebut sebagai kegiatan negara. Usaha ini diteruskan oleh khalifah-khalifah selepasnya khususnya Khalifah Harun al-Rasyid dan al-Makmun. Apabila pembukaan Rom pada zaman al-Makmun iaitu pada tahun 830M, khalifah itu mengumpulkan karya-karya falsafah dan lain-lain yang ditinggalkan oleh mereka dalam sebuah gudang setelah diperkenankan oleh emperornya Teheophilus . Karya-karya ini diberikan sebagai bayaran hutang kerajaan Rom kepada baginda Khalifah al-Makmun. Khalifah amat bergembira kerana mendapat khazanah silam yang tidak terkira nilainya sedangkan emperor mendapat faedahnya yang tersendiri.

Diriwayatkan bahawa Khalifah al-Makmun menawarkan tawaran yang amat lumayan kepada penterjemah iaitu emas seberat karya terjemahannya. Oleh itu terdapat par penterjemah yang menggunakan kertas tebal dan penulisannya menggunakan huruf-huruf yang besar untuk anugerah tersebut. Ahli-ahli Nasatirah yang pernah berhijrah daripada kerajaan Rom ke Jundisabur seperti keluarga Jurjis di antara mereka yang terlibat dengan penterjemahan.

Ibnu Abi Usaibi'ah menyenaraikan mereka yang memberi sumbangan dalam penterjemahan karya perubatan asing ke dalam bahasa Arab di dalam 'uyun al-Anba'. Mereka termasuklah Jurjis, Hunain bin Ishak, Ishak bin Hunain, Habisy al-A'sam, Isa bin Yahya, Qusta bin Luga, Ayub al-Abrasy, Masarjis, Isa bin Majarjis, Syahdi al-Karkhi, al-Hujjaj bin Matar, Zurba, Hilal bin Abi Hilal, Fathiun al-Tarjuman, Abu Nasr bin Nari, Basir Matran, Istafan bin Basil, Musa bin Khalid, Istath, Heron bin Rabitah, Sarjis, Ayub al-Rahawi, Yusoff al-Naqil, Ibrahim bin al-Silat, Thabit al-'Aqil, Abu Yusuf al-Katib, Yunana bin Bukhtaisyu, al-Bitriq, Qida al-Rahawi, Mansur bin Banas, 'Abd Yasyu' bin Bahriz, Abu 'Uthman Sa'id, Abdullah bin Ishak dan lain-lain.

Terdapat dua aliran penterjemahan karya asing ke bahasa Arab secara perkataan demi perkataan atau lafaz dan secara maksud dan makna. Hunain merupakan penterjemah awal yang terkenal. Beliau dilahirkan di hirah pada tahun 810M. Beliau mempelajari perubatan daripada Yuhana bin Masawaih, kemudiannya ke Rom untuk mempelajari ilmu tersebut. Beliau melawat Iskandariah dan Farsi dan mengambil ilmu perubatan di sana daripada tokoh-tokohnya. Beliau kemudiannya pulang ke Basrah lalu memperdalami bahasa Arab dengan Khalil bin Ahmad Beliau dapat menguasai banya ilmu bahasa seperti Arab, Farsi dan Syria. Latar belakang ini memberikan kemudahan kepadanya sebagai penterjemah yang handal dalam ilmu perubatan. Beliau pernah berkhidmat di bawah Jibra'il bin Bukhtaisyu' dan khalifah Abbasiah. Sebelum berkhidmat beliau diuji tentang kesetiaan dengan etika kerjanya dengan menyuruh membuat racun yang amat berbisa, tetapi beliau enggan. Hal ini amat mengembirakan khalifah. Menurut Ibnu Juljul, khalifah tersebut ialah Ja'far al-Mutawakkil.

Hunain menterjemah dan mentafsirkan kandungan karya-karya Hipokrates dan Jalmus. Ada karya yang dipermudahkan oleh Hunain dalam bentuk soal jawab seperti Kitab al-Masa'il fi al-Tibb yang dikhususkan untuk pelajar. Diriwayatkan beliau menterjemah tujuh buah karya Hipokrates dan muridnya. Isa bin Yahya pula menterjemahkan karya-karya Galen. Hunain menterjemahkan juga lima buah karya Aribasius seorang ahli perubatan yang mahir dalam pembedahan kurun ke-4M yang banyak merujuk kepada karya-karya Jalinus, diantaranya ialah Kitab al-Sab'in. Selain daripada menterjemahkan karya-karya asing, Hunain sendiri mempunyai banyak karya dalam bidang perubatan.Mengenai makanan, Hunain menulis sebuah buku mengenai permakanan bertajuk Kitab al-Aghziah yang bersumber karya Jalinus dan lainnya untuk al-Amir Ishaq bin Ibrahim al-Tahiri (mati 235H). Hunain menulis jugs karya mengenai penyakit mata yang bertajuk al-'Asyar maqalat fi al-'Ain. Karya. Karya ini perlu dipelajari kemudiannya oleh doktor-doktor mata yang baru sebagai pengujian pengetahuan mereka dalam ujian yang ditetapkan oleh pemerintah sebelum memulakan protesyon berkenaan. Di antara kandungan penting karya ini ialah mata dan fisologinya serta bagaimana mata berfungsi, saraf-saraf dan otak, penyakit-penyakit mata serta rawatan-rawatan menggunakan ubat tunggal dan ramuan. Karya-karya lain Hunain ialah Maqal fi tadbir al-naqah untuk Abu Muhammad bin Musa Syakir. Kitab Fi al-mauludin li thamaniah asyhur( mengaenai kelahiran bayi ketika tempuh kandungan 8 bulan) untuk permaisuri amin al-walad baginda al-Mutawakkil. Kitab al-Adwiyah al-Mufradah, Kunnasi al-Khuff, Kitab al-Adwiyah al-Mufradah fi kulli Makan dan lain-lain.

Ibnu al-Nadim menyebut beberapa karya perubatan Jalinus yang diterjemahkan oleh Hunain Habisy bin al-Hasan al-A'sam dan 'Isa bin Abi Yahya. Daripadanya enam belas karya terjemahan dikajioleh ahli perubatan secara khusus. Di antara karya-karya tersebut ialah : Kitab al-Firaq, Kitab Sina'ah, Kitab fi al-Nabd, Kitab ta'atti li syifa' al-Amrad, Kitab al-Maqalat al-Khams fi al-Tasyrih, Kitab al-Ustuqsat, Kitab al-Mizaj, Kitab al-Qawiy al Tabi'at dan Kitab al-'Ilal wa al-A'rad diterjemahkan oleh Hunain (walaupun tidak sepenuhnya).Kitab ta'aruf 'ilal al-A'dad al-Batinah dan Kitab al-Nabal al-Kabir diterjemahkan oleh Habisy. Penterjemah karya-karya Jalinus yang lain termasuklah Istafan bin Basil, Yahya bin Bitriq, Ibrahim bin Silat dan lain-lain.

Ibnu Muqaffa' dan Ibnu Musawaih merupakan dua orang penterjemah karya-karya perubatan pada zaman pemerintahan kerajaan Abasiah. Al-Rasyid mengarahkan Ibnu Musawaih menterjemahkan karya yang dibawa dari wilayah Rom ke bahasa Arab.Ibnu Musawaih selain daripada penterjemah, menghasilkan karya-karya perubatannya, di antaranya ialah al-Burhan yang mempunyai 30 jilid dan Kitab fi al-Janin wakaumihi fi al-Rahim. Dalam penyelidikannya, beliau membedah kera-kera sebagai percubaan di atas tebing sungai Dajlah dan kera-kera itu dibekalkan oleh Khalifah al-Mu'tasim kepadanya.

Karya Yunani Daghl al-'Ain yang diterjemahkan oleh Yuhana bin Masawaih merupakan karya terawal dalam bahasa mengenai penyakit mata. Buku ini diterjemahkan pada tahun dalam pertengahan pertama kurun ke-9M. Istilah -istilah yang belum piawai yang diterbitkan daripada istilah Yunani digunakan dalam karya ini. Karya ini digunakan sebagai buku panduan untuk menduduki peperiksaan kerajaan bagi doktor-doktor mata yang baru.

Ya'qub bin Ishak al-Kindi (mati 260H), filasuf Arab yang masyhur merupakan penterjemah pelbagai karya asing. Al-Ma'mun menugaskannya menterjemahkan karya-karya falsafah Aristoteles dan lain-lain ke dalam bahasa Arab. Beliau seorang yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau sendiri menulis beberapa buah karya dalam ilmu perubatan seperti risalah fi tadbir al-Asihha', Kitab fi Asyfiah al-Samum, Risalah fi al-Adwiyah al-Musyfiah, Risalah fi Kaifiat al-Dimagh, Kitab fi 'Addah al-Kalb, Risalah fi waj'al-Ma'idah wa al-Naqras dan lain-lain.

Qusta bin Luqa (mati 912M) yang hidup sezaman dengan al-Kindi turut membantu penterjemahan karya-karya falsafah, matematik dan perubatan.Beliau mempunyai pengetahuan bahasa Yunani, Syria dan arab. Qusta ialah pengikut agama nasrani yang berasal dari Ba'labak. Di antara sumbangan Qusta bin Luqa dalam perubatan ialah Kitab fi Auja' al-Naqras, Kitab fi Raw'ih wa 'alalaliha , Kitab fi al-Bahwa Asbabiha (surat untuk Muhammad al-Hasan), Kitab jami' fi dukhul fi al-Kabad, Kitab fi al-Dam dan lain-lain.

Thabit bin Qurrah (mati 901M) merupakan ahli falsafah, ahli matematik dan ahlim perubatan yang terkenal. Beliau juga terlibat dan berkebolehan dalam penterjemahan karya-karya Yunani termasuk Jalinus. Selain menterjemah, beliau membuat ringkasan dan karya asli berdasarkan karya-karya Jalinus.Di antara ringkasan karya Jalinus ialah Mukhtasar Thabit ibn Qurrah li Kitab Jalinus fi al-Mauludin li sab'at Asyhur yang berdasarkan karya Jalinus Deoctimestri partu. Di dalam risalah ini, Thabit menekankan bahawa seorang yang dilahirkan dalam tempoh kandungan 7 bulan berkemungkinan hidup iaitu dari tempoh 184 hingga 204 hari. Karya-karya lainnya termasuklah Kitab fi al-Nabd, Kitab fi al-Mfasil wa al-Naqras, Risalah fi al-Ibanah 'an Manfa'at al Tibb, Risalah fi al-Faraq bain al-Junun al-'Arid min Mass al-Syayatin, Kitab al-Zakhirah fi 'Ilm al-Tibb dan lain-lain.

Terdapat banyak karya mengenai sejarah penterjemahan dan riwayat hidup tokoh-tokoh ilmuan Islam termasuk ahli-ahli perubatan tamadun Islam. Di antara karya terkenal mengenainya ialah Kitab al-Fihrist karya Muhammad bin al-Nadim al-Warraq, Tabaqat al-Atibba' wa al-Hukama' karya Abu Daud Sulaiman bin Hasan al-Andalusi ibnu Juljul. Akhbar al-Ulama' bi Akhbar al-Hukama' karya Jamaludin al-Qitfi , Wafiyyat al-A'yan wa Abna' Abna' al-Zaman karya al-Qadi Syamsudin Abu al-'Abbas Ahmad ibnu Khalikan, 'Uyan al-Anba' fi Tabaqat karya Ibnu Abi Usaibi'ah, Tarikh al-Hukama' Nazhah al-Arawah wa Raudat al-Afrah karta Syamsudin al-Syaharzuri, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar karya Ibnu Fadlillah al-Umari Syihabuddin Ahmad ibnu Yahya dan lain-lain. Ibnu Abi Usaibi'ah selain daripada penulis sejarah perubatan , beliau merupakan ahli perubatan, khususnya mengenai penyakit mata, dan beliau merupakan ketua doktor mata di hospital al-Nasiri. Ayahnya juga seorang Tabib.

Kitab al-Fihrist Ibnu al-Nadim merupakan karya terawal yang ada sekarang mengenai sejarah tokoh perubatan silam yang ditulis dalam tahun 377H. Pada tahunyang sama Ibnu Juljul menyusun Tabaqat al-Atibba' wa al-Hukama' dan karya ini yang terawal ditulis di Andalus mengenai sejarah Hukama' dan karya Ishak bin Hunain ( mati 298H ) merupakan karya yang lebih awal ditulis mengenai sejarah perubatan daripada kedua-dua karya itu. Ishak dianggap penulis sejarah perubatan pertama yang diketahui walaupun sejarah hukama' sebelum Islam pernah ditulis oleh Ya'qubi (mati 284M). Hunain bin Ishak pun pernah menulis mengenai ahli hukama' silam di dalam Nawadir al-Falasifat. Adalah dipercayai Ishak bin Hunain merujuk kepada sumber Yunani karya Yuhana Filobonus Jaramatikus yang hidup di Iskandariah pada pertengahan pertama kurun ke-6M. Adalah dipercayai Tabaqat Ibnu Juljul ditulis secara bebas daripada kandungan al-Fihrist Ibnu al-Nadim. Punca rujukan Ibnu Juljul adalah karya-karya Yunani sebagaimana yang disebut di dalam karyanya itu. Khalifah-Khalifah kerajaan Andalus seperti 'Abdul Rahman al-Nasir, al-Hakam al-Muntasar dan lain-lain amat menganjurkan perkembangan dan penterjemahan. Ibnu Juljul menyatakan bahawa sehingga pemerintahan 'Abdul Rahman al-Hakam (207-237H), tiada ahli perubatan Islam di Andalus kecuali ahli-ahli perubatan Nasrani. Karya perubatan utama yang menjadi rujukan di Andalus ketika itu ialah al-Fusul karya Hipokrates yang diterjemahkan. Kemudian pada masa pemerintahan Muhammad bin 'Abdul Rahman (288-273M) muncullah beberapa orang ahli perubatan di Andalus, termasuk Yahya bin Ishak al-Tabib yang memulakan karya-karya perubatan.



Rencana ini dipetik dari Majalah Pengasuh dengan ihsan : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) .

No comments: